PUTRAJAYA 8 Feb. – Dunia perniagaan dalam talian atau online yang dikatakan menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusaha-pengusaha hakikatnya tidaklah seindah yang disangka.
Sebaliknya, penggiat sektor perniagaan yang merangkumi kira-kira 250,000 orang di seluruh negara itu turut berdepan dengan 1,001 cabaran dalam usaha memperkembangkan perniagaan mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan pasaran yang serba mencabar ketika ini.
Antara permasalahan yang timbul dalam kalangan peniaga-peniaga dalam talian ialah keupayaan bagi menyesuaikan diri dengan polisi dan peraturan melibatkan undang-undang perdagangan elektronik.
Selain itu, golongan peniaga dalam talian turut menghadapi permasalahan dari segi persaingan barangan dari China yang memasuki pasaran negara melalui platform e-dagang yang semakin bertapak di Malaysia serta mendapat penerimaan yang tinggi daripada pelanggan.
Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia, Mohd. Azrul Mohd. Nor berkata, dalam usaha menangani permasalahan itu, kerajaan perlu lebih proaktif memastikan golongan berkenaan memperoleh pembelaan yang sewajarnya.
“Peniaga online kebanyakan sukar untuk mengembangkan perniagaan kerana tiada struktur membina perniagaan dengan lebih sistematik seperti perakaunan yang teratur.
“Sekarang ini pembeli juga boleh beli terus dari sana (China) dengan mudah, jadi sebahagian peniaga dalam talian jika dahulu perniagaan mereka besar sekarang mengecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azrul berkata, polisi dan peraturan berkaitan termasuk Akta Perdagangan Elektronik 2006 perlu disemak semula selaras dengan situasi semasa serta mengambil kira input dari pihak persatuan dan pengamal industri sendiri.
Meskipun polisi berkenaan tidak dilihat menekan golongan peniaga, beliau berkata, pelaksanaannya memerlukan ruang masa serta konsultansi umum antara peniaga dalam talian dan juga kerajaan.
“Kesan polisi itu adalah peniaga dalam talian merasa lebih takut untuk meneruskan perniagaan, dan ada sebahagian sekadar berniaga berbanding mengembangkan perniagaan untuk kurangkan risiko pada mereka,” katanya.










