JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat dan penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana mengemukakan tuntutan palsu.
Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan pada pukul 2.30 petang di Pejabat SPRM Cawangan Segamat.
Menurut sumber, kedua-dua mereka merupakan seorang pengurus syarikat dan seorang lagi adalah Penolong Pegawai Tadbir wanita yang bertugas di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati, kedua-dua suspek bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM7,200 kepada ILP Tangkak berkaitan satu program Kursus Pengurusan Organisasi Efektif, yang mana kursus tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Jelas sumber itu, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu Mahkamah Sesyen Segamat membenarkan tempoh tahanan reman selama 5 hari terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini. – K! ONLINE








