Pengaruh selebriti dalam landskap politik negara - Utusan Malaysia

Pengaruh selebriti dalam landskap politik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pernah dipanaskan sensasi apabila nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikaitkan sebagai calon untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac nanti.

Pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 40, menjadi mangsa permainan politik apabila dikatakan bakal mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Nama pelantun Anta Permana itu terus dimainkan pihak yang tidak bertanggungjawab susulan beberapa perkongsian penyanyi itu menerusi laman Instagramnya yang menafikan penglibatan sebagai ahli politik merebut kerusi DUN Semenyih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarpun mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan bertanding di Semenyih, Siti secara sinis memuat naik sekeping gambar melakukan aktiviti berbasikal di DUN berkenaan berserta tanda pagar #sayabukancalonbertanding dan #sayacumakayuhje.

Mungkin tidak tahan melihat nama Siti Nurhaliza diperkotak-katik dalam medan politik, pengurusnya, Rozi Abd. Razak, 45, tampil membidas dengan penjelasan terperinci.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Instagramnya, Rozi berkata, Siti Nurhaliza tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penularan dakwaan bahawa diletakkan sebagai calon PH di DUN Semenyih.

“Sebolehnya saya atau @ctdk (Siti Nurhaliza) tidak mahu komen kepada perkara yang tidak ada kena mengena, tidak diketahui dan tidak dilakukan oleh @ctdk.

“Cukuplah jika tidak suka nama kita digunakan, nama kita dijadikan bahan fitnah, nama kita dihina-hina, nama kita diejek-ejek, begitulah juga @ctdk,” tulisnya menerusi laman Instagramnya baru-baru ini.

Dalam muat naik yang sama, Rozi turut menyatakan kekesalan apabila nama Siti dikaitkan dalam propaganda politik sehingga memaksa pihaknya memberi penjelasan terhadap isu tersebut.

Penafian Siti Nurhaliza

Menyorot pra PRU14, ini bukanlah kali pertama nama Siti Nurhaliza disebut dalam medan politik negara. Dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa wakil rakyat PH mungkin menjadi faktor Siti Nurhaliza terpalit dengan kontroversi berkenaan.

Hinggakan pada satu masa lalu pernah tular dakwaan Siti merupakan calon PH untuk menjatuhkan penyandang Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Siti Nurhaliza pernah menjelaskan kepada umum mengenai pendiriannya untuk tidak terjun ke dalam dunia politik dengan berkata: “Benar, saya banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, lebih-lebih lagi apabila saya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Dan Warisan (ASWARA) dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, tetapi saya tidak berhasrat untuk menceburi bidang politik.

“Bagaimanapun, hati lebih tenang dan senang jika saya menumpukan perhatian terhadap bidang nyanyian,” katanya.

Ironinya, penglibatan selebriti antarabangsa sebagai ahli politik bukanlah sesuatu yang asing.

Malaysia sendiri tidak ketinggalan menyaksikan penglibatan selebriti dalam arena politik negara. Namun, sehingga kini, masih tiada selebriti yang mampu menempatkan diri sebagai wakil rakyat.

Pada PRU lalu, drama politik tanah air sempat menyaksikan perang dingin antara penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan selebriti, Azwan Ali.

Kedua-dua calon yang merupakan adik-beradik itu mendapat liputan meluas media, apatah lagi kesanggupan Azwan meraih undi dengan mengedarkan rendang percuma sepanjang tempoh berkempen.

Pada PRU-13, arena politik negara rancak dengan penglibatan beberapa nama besar dalam industri hiburan yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon mewakili parti pembangkang.

Pelantun Janji Manismu, Wan Aishah Wan Ariffin, 34, atau nama pentasnya Aishah bertanding calon Parlimen Jempol mewakili Pas, manakala Dayangku Intan Tengku Abdul bertanding sebagai calon Parlimen Pengerang mewakili PKR.

Tidak ketinggalan Herman Tino turut bertanding di Parlimen Tanjong Karang sebagai wakil bebas.

Menyorot keputusan pada PRU-13, Aishah, Dayangku Intan dan Herman gagal menempatkan diri sebagai Ahli Parlimen mewakili kawasan masing-masing di Dewan Rakyat.

Kesemua selebriti itu bahkan tewas dengan majoriti besar menyaksikan calon dari BN menang mudah di kesemua tempat yang mereka tandingi.

Aishah tewas kepada calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Samad dengan majoriti undi 8,614 di Parlimen Jempol.

Dayangku Intan tewas dengan majoriti 22,508 di tangan Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen Pengerang, manakala Herman Tino sebagai calon bebas kalah di tangan Tan Sri Noh Omar dengan majoriti 4,394 undi sehingga hilang wang pertaruhan.

Penglibatan golongan selebriti berkenaan dalam arena politik menimbulkan pelbagai persoalan, terutama keupayaan meraih sokongan pengundi atau lebih terdedah terhadap unsur eksploitasi parti.

Selebriti dan politik

Penyanyi dan pelakon, Izzue Islam atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, berkongsi pendapatnya mengenai penglibatan artis dalam pentas politik.

“Saya secara peribadi lebih selesa merahsiakan sokongan saya terhadap mana-mana parti. Pada pendapat saya, golongan selebriti perlu berdiri atas dasar perkongsian bakat dan menghiburkan orang ramai.

“Latar belakang sokongan kita terhadap mana-mana parti politik tidak sepatutnya diangkat sebagai isu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Izzue berkata, dia pernah terlibat dengan beberapa program anjuran kerajaan terdahulu dan kini. Dia juga tidak bermasalah untuk hadir ke acara berkaitan politik sebagai seorang penghibur.

“Saya hanya hadirkan diri untuk membuat persembahan sebagai melaksanakan tanggungjawab sebagai penghibur,” katanya.

Ketika ditebak sama ada dia berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik, Izzue pantas menggelengkan kepala.

“Biarlah mereka yang layak untuk terlibat dalam dunia politik dan memperjuangkan dasar demi kepentingan rakyat. Saya mahu kekal sebagai penghibur dan terus berkarya dalam industri,” jelasnya.

Sejarah mencatatkan, pelakon legenda, Allahyarham Senator Tan Sri. Dr. Jins Shamsuddin merupakan anak seni pertama yang menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan apabila dilantik sebagai senator di Dewan Negara.

Jins berkhidmat sebagai senator selama dua penggal di bawah tampuk dua Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Pelantikan itu dilabel sebagai penghargaan kerajaan terhadap golongan anak seni.

Bagaimanapun, penglibatan Jins dalam kerajaan tidak melalui PRU, sekali gus tidak menyokong teori populariti selebriti membantu kemenangan parti atau diri mereka dalam PRU.

Pengaruh selebriti

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr. Ismail Sualman menjelaskan golongan selebriti terbahagi kepada beberapa kategori yang boleh diklasifikasikan personaliti yang dikenali awam.

Mengambil pendekatan untuk tidak memandang rendah pengaruh selebriti dalam arena politik tempatan, Ismail menjadikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai contoh menyokong kekuatan pengaruh selebriti.

“Ketika pemilihan presiden berlangsung di AS, ramai berpendapat pesaingnya, Hillary Clinton akan menang mudah kerana lebih berpengalaman dalam arena politik.

“Akhirnya rakyat memilih Trump kerana dia lebih popular, mempunyai ideologi kukuh untuk memenangi hati rakyat dan menjadikan isu peperangan ektremis sebagai agenda utama, sehingga membawa kemenangan kepada personaliti televisyen itu,” katanya.

Kembali mengulas mengenai kemampuan selebriti tempatan meraih kepercayaan rakyat untuk diterjemahkan dalam peti undi, Ismail berpendapat, belum ada selebriti yang mampu menempatkan diri dalam Dewan Rakyat.

Tegas Ismail, selepas melalui 14 pilihan raya, rakyat Malaysia semakin matang dalam memilih kerajaan, apatah lagi disokong dengan penyebaran ideologi menerusi media sosial.

“Ramai ahli politik tewas dalam pilihan raya kerana pengundi semakin matang. Tindakan meletakkan selebriti popular sebagai calon dalam pilihan raya tidak akan menjanjikan kemenangan,” tegasnya.

Raih undi

Ismail bagaimanapun tidak menafikan penglibatan golongan selebriti sepanjang kempen PRU atau PRK mampu menjadi daya tarikan untuk mengumpulkan khalayak.

Sungguh pun begitu, jumlah kedatangan khalayak tidak menjanjikan sokongan rakyat terhadap parti atau boleh dijadikan penanda aras kemenangan dalam pilihan raya.

“Kelebihan kumpulan selebriti kerana mereka lebih mudah mendekati rakyat dan sudah tentu mereka digemari. Mungkin kehadiran mereka dalam kempen pilihan raya akan menarik minat khalayak.

“Bagaimanapun, kehadiran ribuan pengunjung itu tidak boleh menjadi justifikasi sokongan rakyat di dalam peti undi,” terangnya.

Terdapat pendapat yang menyatakan penglibatan golongan artis dalam medan politik sama ada bertanding atau berkempen meletakkan diri mereka sebagai mangsa eksploitasi sesebuah parti.

Ismail tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Berdasarkan penilaiannya, penglibatan golongan selebriti di pentas politik adalah atas kapasiti kehendak peribadi.

Beliau bagaimanapun memberikan peringatan kepada golongan selebriti bahawa sokongan rakyat terhadap parti politik dalam negara adalah berbeza berbanding sokongan yang diterima dalam arena hiburan.

“Dunia populariti dan politik adalah dua medan berbeza. Dalam dunia politik, faktor utama yang menjadi pilihan pengundi adalah anak tempatan dengan kualiti yang kuat. Seseorang selebriti yang mempunyai pengikut dan peminat yang ramai, belum tentu mampu meraih undi di sesebuah kawasan,” jelasnya.

Namun, mengambil contoh kejayaan Trump menduduki kerusi Presiden AS, Ismail tidak menolak kebarangkalian penglibatan selebriti sebagai wakil rakyat pada satu hari nanti.

“Rakyat Malaysia masih belum bersedia menerima golongan selebriti sebagai wakil rakyat. Secara umum, golongan selebriti sedia ada belum bersedia untuk diberikan mandat di peringkat Pusat.

“Kecuali kita mempunyai seorang personaliti dengan aura hebat di pentas populariti dan politik, Malaysia mungkin menyaksikan selebriti sebagai wakil rakyat,” katanya.

Memegang gelaran sebagai selebriti atau insan yang dikenali tidak menjanjikan laluan mudah kepada seseorang selebriti meraih sokongan rakyat sekiranya mereka terbabit aktif dalam medan politik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN