Penganggur mengaku salah culik, cederakan anak saudara  - Utusan Malaysia

Penganggur mengaku salah culik, cederakan anak saudara 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Tindakan seorang penganggur menjadikan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun sebagai tebusan dalam kejadian di Taman Serai Wangi, Padang Serai pada 9 Februari lalu berbalas apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Abd. Rahim Osman, 35, yang memakai baju lokap dituduh atas dua pertuduhan iaitu menculik dan mencederakan kanak-kanak terbabit, Wan Nur Ainul Darwisyah Amri.

Dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Rahim didakwa menculik Wan Nur Ainul Darwisyah dengan mengurung mangsa secara salah di dalam sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai kira-kira pukul 6 petang, 9 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang serius selain bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan keluarganya.

Mahkamah memutuskan untuk tidak menawarkan jaminan dan menetapkan Rabu depan untuk fakta kes dan hukuman.

Kosmo! Online pada 11 Februari lalu melaporkan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah bertindak menjadikan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun sebagai tebusan selama kira-kira enam jam di dalam tandas sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×