KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa bermandi peluh sebelum menempah slot final Kejohanan Badminton Kebangsaan apabila melakar kemenangan 18-21, 21-14, 21-7 ke atas Tan Kian Meng-Peck Yen Wei pada aksi separuh akhir semalam.
Pada aksi di Kompleks Sukan Ipoh, Perak itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 sedikit tersentak apabila dikejutkan dengan kekalahan 18-21 pada set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya.
Peng Soon mengakui, bekas rakan sepasukannya itu menampilkan aksi lebih baik pada set pertama, lebih-lebih lagi percaturan strategi Kian Meng-Yen Wei berjaya memerangkap mereka.
“Saya akui mereka bermain sangat baik pada set pertama, apatah lagi percaturan taktikal mereka menyebabkan kami sedikit kelam-kabut. Justeru, saya dan Liu Ying termasuk dalam jerat mereka.
“Memasuki set kedua, kami ubah sedikit strategi permainan sehingga menyebabkan mereka melakukan kesilapan. Memang kami menang tetapi untuk dapatkan keputusan seperti ini memerlukan kami mengerah lebih banyak tenaga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menanti Peng Soon-Liu Ying pada perlawanan akhir hari ini ialah Hoo Pang Ron-Shevon Lai yang mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Chen Tang Jie-Lai Pei Jing menerusi kemenangan 21-19, 12-21, 21-11.
Kata Peng Soon, aksi final hari ini bakal menjanjikan aksi sukar memandangkan kedua-dua beregu itu pernah menjalani latihan bersama selain tahu kelebihan serta kelemahan masing-masing.
“Tidak dinafikan perlawanan akhir esok (hari ini) akan menjadi satu cabaran yang sukar kerana kami pernah berlatih bersama bagi tempoh lama, sekali gus menyebabkan kedua-dua beregu tahu corak permainan masing-masing.
“Bagaimanapun, kami akan cuba bermain seperti biasa dan kerahkan segala-galanya bagi membawa pulang gelaran sebagai juara. Apa yang pasti, kami tidak akan memandang rendah kemampuan lawan kerana apa-apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.










