MARANG 21 Feb. – Jabatan Perikanan negeri sedang berusaha untuk mempertingkatkan semula jumlah pendaratan ikan di negeri ini yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarahnya, Zawawi Ali berkata, selain kekurangan sumber laut, antara punca utama menyebabkan pendaratan ikan semakin berkurangan adalah masalah muara yang cetek.
“Dulu jumlah pendaratan ikan di negeri ini ialah sebayak 70,000 tan metrik, tetapi sekarang hanya 25,000 tan metrik.
“Ia berlaku kerana kebanyakan nelayan kita gagal mendaratkan ikan di pelabuhan negeri ini ekoran berhadapan dengan masalah muara yang agak cetek sehingga memaksa mereka memilih pelabuhan Tok Bali di Kelantan dan juga di Kuantan Pahang,” katanya.
Zawawi berkata demikian pada majlis dialog sempena program YB Cakna Rakyat bersama nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Dewan Sivik Mercang dekat sini, semalam.
Majlis bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Menurut Zawawi, Kerajaan negeri dan jabatan sentiasa berusaha bagi menyelesaikan kesukaran nelayan untuk mendaratkan ikan di pelabuhan negeri ini.
“Insya Allah kita akan terus berusaha untuk mengembalikan semula kerancakan pelabuhan perikanan yang ada di negeri ini seperti dahulu dengan mengambil pelbagai langkah sewajarnya.
“Kita berharap sasaran 70,000 tan metrik akan dapat didaràtkan semula di negeri ini. Selain mendalamkan muara sungai yang cetek, kita akan perbanyakkan aktiviti melabuhkan tukun dan unjam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











