AMPANG- Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kini sudah memasuki 52 peratus proses pembinannya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas Expressway Sdn. Bhd. (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, apabila sudah siap kelak, lebuh raya berkenaan akan dibuka untuk kegunaan orang awam menjelang pertengahan tahun 2020.
“SUKE dijangka akan memberi manfaat kepada penyuraian trafik yang lebih terancang kepada penduduk sekitar selain mengurangkan kesesakkan lalu lintas terutamanya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Kelancaran trafik itu juga bakal memberikan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat sekali gus memberi lebih alternatif kepada pengguna,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra sempena Tahun Baru Cina di Taman Bukit Teratai di sini tadi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Brian Lai Wai Chong.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 1,200 penduduk tempatan tanpa mengira perbezaan agama termasuklah kaum Melayu dan India.
Mohammad Azlan menambah, majlis ramah mesra itu juga merupakan sebahagian daripada tanda terima kasih Prolintas kepada penduduk setempat berikutan memberikan kerjasama sepanjang pembinaan SUKE.
“Kami juga ingin memohon maaf kepada penduduk sekiranya terdapat sebarang kesulitan yang berlaku selama proses pembinaan lebuh raya berjalan,” jelasnya. – K! ONLINE










