KUALA LUMPUR 23 Feb.- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kenyataan berbeza Pakatan Harapan (PH) berkaitan pemberian hamper dan tawaran bantuan baik pulih rumah penduduk bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Najib memberitahu, ini kerana calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali menafikan hamper dan surat tawaran membaiki merupakan pemberian parti tersebut.
“Calon PH juga kata mereka telah membuat laporan polis tentang pemberian ini dan bertegas PH perlu bertanding dengan bersih dan berpegang kepada prinsip.
“Akan tetapi, setelah calon PH menafikan presiden Bersatu pula mengesahkan pemberian ini dari kerajaan PH,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Tambah Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu pemberian tersebut bukan cubaan membeli undi dan tidak ada pelanggaran undang-undang pilihan raya kerana telah diatur sebelum PRK.
“Presiden yang juga menteri jaga polis berkata jika UMNO mahu membuat laporan polis, laporlah.
“Pertama kali saya tengok surat tawaran rasmi kerajaan disertakan dengan hamper dan risalah parti.
“Kita bersangka baik, walaupun saya tengok hamper ini ada makanan tetapi tidak ada limau mandarin mungkin hamper ini ialah untuk Tahun Baru Cina yang baru berlalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










