SHAH ALAM 22 Feb. – Tindakan segelintir ahli politik di Sabah yang meninggalkan parti mereka untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa kini disifatkan sebagai orang yang lemah.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, beliau melabelkan segelintir individu terbabit lemah berikutan pada dahulunya ketika menjadi kerajaan, mereka sangat lantang mengkritik pembangkang.
Malah katanya, kumpulan tersebut juga sanggup menggunakan laluan belakang semata-mata untuk menyertai PH selain terpaksa akur bahawa kerajaan yang ada sekarang merupakan pilihan utama mereka meskipun sebelum ini menghina dan memalukan Warisan.
“Dulu sewaktu menjadi pembangkang, mereka serang, hina dan labelkan kita dengan pelbagai nama. Bagi saya sebagai ahli politik, mereka itu tidak dapat bertahan seperti kami yang teguh menjadi pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Tetapi kini, baru sembilan bulan mereka jadi pembangkang sudah tidak boleh tahan dan mahu sertai kerajaan PH. Aneh bukan, sebab itu saya gelarkan mereka lemah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penyertaan sebahagian ahli parti pembangkang di Sabah ke dalam Bersatu. – UTUSAN ONLINE










