PUTRAJAYA 23 Feb. – Jabatan Perikanan sentiasa melaksanakan pemantauan halal terhadap ikan termasuk penghasilan berkaitan produk-produk ikan sejak 2010 lagi.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan tersebut dijalankan secara berkala bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) porsin (seperti babi) ke atas produk perikanan seluruh negara.
“Antara produk dianalisis adalah ikan, makanan ikan dan tepung ikan yang dilakukan di makmal Biosekuriti Perikanan di Kuala Lumpur dan Bintawa, Sarawak.
“Hanya 4.9 peratus sampel sahaja yang dikesan positif mengandungi DNA porsin iaitu diambil daripada makanan ikan menerusi pemantauan terhadap 846 sampel sepanjang 2016, 2017 dan 2018,” jelas kenyataan tersebut di sini hari ini.
Kenyataan itu mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung terdapat ikan ternakan yang diberikan makanan berasaskan babi.
Menurut Jabatan Perikanan lagi, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memutuskan isu halal hanya dihadkan kepada barangan makanan dan kegunaan peribadi.
“Ia tidak dikembangkan ke atas haiwan kerana hukum halal dan larangan haram hanya terpakai kepada manusia.
“Selain itu, satu penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung mendapati ikan diberikan makanan tidak halal berupaya menyucikan badan mereka 72 jam setelah melalui proses istihala (pengasingan tidak diberikan makan),” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, Akta Makanan Haiwan 2009 di bawah Peraturan Pelabelan secara jelas mengkehendaki setiap pengeluar makanan ternakan melabelkan kandungan ramuan di dalam makanan ternakan yang dikeluarkan dan tindakan keras akan diambil jika mereka menipu atau gagal berbuat demikian.
Jabatan Perikanan berharap pihak berkaitan tidak membuat dakwaan tanpa disertakan maklumat lebih terperinci kerana kesannya mengakibatkan kecelaruan dalam kalangan pengguna dan aktiviti penternakan ikan.
Sementara itu, Jabatan Perikanan memaklumkan pihaknya kini melakukan pemantauan terhadap isu kebanjiran ikan baung di Sungai Pahang yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.
Menurut jabatan itu, pihaknya akan melakukan pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) di peringkat negeri supaya pelepasan ikan eksotik dapat dikawal termasuk tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih berkesan.










