Pemandu maut tersepit bawah kepala treler balak - Utusan Malaysia

Pemandu maut tersepit bawah kepala treler balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 20 Feb. – Seorang pemandu maut tersepit di bawah kepala lori balak dipandunya selepas kenderaan tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Mohammad Amirul Syamir Noor Azizi, 28, yang beralamat di Kampung Temin, Sungai Siput, Perak disahkan maut di lokasi manakala, kelindannya, Mohd. Akmal Ikbar Ataruddin, 27, hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Lojing untuk menghantar balak.

Katanya, sebaik tiba di kawasan kejadian treler berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terlanggar penghadang di tepi jalan sebelum terbalik bersama muatan kayu balak.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di bawah kepala lori.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan di bawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. Kelindan cedera pula dihantar oleh anggota paramedik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke hospital sama untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, beliau bersama sembilan anggota lain ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.09 petang.

Katanya, sebaik saja memulakan operasi pada pukul 1.40 petang, mangsa dipercayai telah meninggal dunia akibat tersepit di bawah treler.

“Kita berjaya menamatkan operasi pada pukul 2.18 petang dan menyerahkan mayat mangsa yang tersepit kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN