MELAKA – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai barang termasuk ikan jenahak dan ketam bunga milik Aeon Bandaraya Melaka bernilai RM1,720 pada dua minggu lalu.
Tertuduh, M. Sarawanan, 35, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mencuri pelbagai barangan bernilai RM1, 720 kira-kira pukul 10.45 malam di pasar raya Aeon Bandaraya Melaka pada 5 Februari lalu.
Antara barangan yang dicuri termasuklah ikan jenahak (RM47), ketam bunga (RM41. 40), ikan salmon Norway (RM39.90),dua seluar Polo kanak-kanak (RM278), tiga baju bayi Tiny Button (RM53. 70), baju Hush Puppies (RM131. 93) dan kunci silinder (RM47. 07).
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM5, 000 manakala tertuduh yang diwakili peguam T. Gajendran merayu jumlah dikurangkan dengan alasan menanggung isteri serta tiga anak termasuk seorang bayi berusia dua bulan.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd. Firdaus membenarkan jaminan sebanyak RM3, 000 dan menetapkan tarikh 18 April depan sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen. – K! ONLINE










