KUALA LUMPUR 18 Feb. – Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta Nissan Almera terpaksa menahan kesakitan hampir 12 jam apabila tersepit di bahagian tempat duduknya dalam kemalangan di bulatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang di sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kejadian disedari pada pukul 10.39 pagi itu dan mangsa difahamkan telah terlibat dengan kemalangan itu sejak lewat malam semalam sebelum ditemui orang ramai pagi ini.
Katanya, kereta mangsa dilaporkan hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 2.8 meter itu.
“Pihak penyelamat menerima panggilan pada pukul 10.39 pagi dan seramai sembilan anggota diarahkan ke lokasi. Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta Nissan berwarna kelabu berada di dalam longkang besar sedalam 2.8 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, seorang pemuda berketurunan Cina yang tidak diketahui identiti berada dalam kereta berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dilaporkan tersepit di bahagian pemandu dan cedera namun berjaya dibawa keluar dengan selamat. Dia dibawa keluar dengan cara memotong bumbung kereta menggunakan pemotong hidroulik sebelum diserahkan kepada anggota paramedik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











