DUNGUN 13 Feb. – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut maut setelah motosikal yang ditunggangi berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 23, Jalan Dungun – Bukit Besi dekat sini pagi tadi.
Muhammad Haziq Irfan Ismail, 14, dari Kampung Pinang di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak beberapa meter dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, nahas berlaku di satu persimpangan sewaktu mangsa dalam perjalanan dari rumah menuju ke sekolahnya.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati kejadian berlaku di satu laluan lurus dengan keadaan permukaan jalan basah akibat hujan sejak pagi.
“Sebaik saja tiba di tempat kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dari arah bertentangan dikatakan membelok ke arah kanan untuk memasuki persimpangan di situ.
“Bagaimanapun, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri hadapan kereta tersebut menyebabkannya tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelas beliau.
Baharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE










