Pelajar malu ke sekolah kerana pakaian lusuh - Utusan Malaysia

Pelajar malu ke sekolah kerana pakaian lusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Malu dengan pakaian lusuh menjadi antara sebab seorang murid miskin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datu’ Hashim di sini sering tidak ke sekolah.

Guru Besar, Hamidah Che Abdul Hamid berkata, beliau bersama rombongan guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut melawat Muhammad Irfan Abdullah, 12, di rumahnya di Kampung Landak di sini hari ini di bawah program Ziarah Cakna untuk bertanya khabar dan menyampaikan barangan keperluan asas.

Beliau berkata, antara bantuan lain yang disampaikan kepada Muhammad Irfan yang tinggal bersama neneknya itu juga adalah pakaian sukan baharu sebagai cara untuk memujuknya kembali ke sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan pantau lebih dekat perkembangan Muhammad Irfan supaya persekolahannya tidak terjejas, sebelum ini kita pernah beri bantuan buku kepadanya.

“Program ziarah ini bukan menumpukan kepada murid susah dan tercicir sekolah sahaja tetapi kita juga melawat murid cemerlang supaya kejayaannya dapat dikongsi murid lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program ziarah itu turut disertai Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) yang diketuai Timbalan Presidennya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi yang menyerahkan sumbangan wang tunai.

 Sementara itu, Muhammad Irfan berkata, dia dibela neneknya, Fatimah Said, 67, sejak berumur empat bulan lagi setelah arwah ibunya bercerai dengan ayahnya.

 Katanya, dia mempunyai dua orang lagi adik berumur enam dan tiga tahun daripada ibu yang berlainan yang juga telah berpisah dengan ayahnya yang hanya bekerja kampung.

 “Kami tiga beradik bergantung kepada nenek untuk makan minum dan wang saku sekolah kerana ayah tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

 Dalam pada itu, Fatimah berkata, dia menyara cucunya dengan wang pencen arwah suami RM200 sebulan serta bantuan kewangan yang dihulurkan anak sulungnya, Mohd. Nasarudin, 40, yang bekerja sebagai tukang kebun dan anak bongsunya, Mohd Syamsuri, 26, yang menjadi pembantu kedai makan. 

 “Setakat ini kami belum sampai lagi tahap tidak ada makanan dalam rumah, sentiasa ada orang beri sedekah membantu kami,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×