VIENNA 23 Feb. – Seorang peladang diarahkan membayar 490,000 euro (RM2.2 juta) sebagai pampasan kepada seorang lelaki selepas isterinya mati dipijak sekawan lembu pada 2014.
Mahkamah di Innsbruck mengeluarkan arahan tersebut dalam saman sivil yang dikemukakan individu tersebut serta anak lelakinya.
Bagaimanapun, peladang terbabit akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Dalam kejadian pada 28 Julai 2014, sekawan lembu secara tiba-tiba mengelilingi dan memijak mangsa serta meninggal dunia akibat kecederaan.
Ketika itu, wanita Jerman berusia 45 tahun itu mendaki Austrian Alps di Tyrol bersama anjingnya.
Suami mangsa dan anak lelakinya menuduh peladang terbabit atas kesalahan cuai.
Tertuduh bagaimanapun menafikannya dan menegaskan telah meletakkan tanda amaran pada padang rumput di lokasi kejadian.
Mahkamah menegaskan tanda amaran itu tidak mencukupi dan sepatutnya padang rumput itu dipagar.
Keputusan mahkamah menimbulkan kemarahan golongan peladang di Tyrol yang melihatnya sebagai ancaman terhadap kehidupan mereka di kawasan pergunungan yang merupakan daya tarikan pelancong.
Dewan Pertanian Tyrol menyelar keputusan tersebut sebagai ‘tidak masuk akal’.
“Keputusan mahkamah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peladang, sama ada harus membiarkan lembu mereka meragut rumput di kawasan tersebut atau menutup padang rumput itu sepenuhnya,” jelas Presiden Dewan Pertanian, Josef Hechenberger. – AFP










