ALOR GAJAH 20 Feb. – Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut akibat tersepit ketika mengendalikan sebuah mesin di kilang memproses sarung tangan di Kawasan Perindustrian Kelemak di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Md. Al Mamun, 31, dipercayai tersepit pada rantai mesin kilang berkenaan yang sedang berfungsi.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penguasa Bomba Kanan II Rosaizad Abu berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 6.58 pagi dan mendapati mangsa masih tersepit di mesin berkenaan namun sudah tidak sedarkan diri.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian leher, tangan, badan dan kaki dikeluarkan dengan bantuan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.
“Proses mengeluarkan mangsa mengambil masa hampir dua jam dengan menggunakan bantuan peralatan khas sebelum dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan yang dialami. – UTUSAN ONLINE










