KUALA TERENGGANU 20 Feb. – Pejabat Daerah Kemaman mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Penarafan Bintang Pentadbiran Tanah 2018 Pusingan Kedua baru-baru ini.
Memperolehi 93.6 peratus, kejayaan itu membolehkan agensi berkenaan meraih tempat kedua di seluruh negara selepas Pejabat Tanah Seberang Perai.
Pencapaian tersebut diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dalam Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
A. Rahman dalam ucapannya menyeru kakitangan awam supaya berpegang kepada slogan ‘work smart’ untuk meningkatkan kecekapan dan seterusnya memastikan perkhidmatan awam terus relevan dan unggul.
Katanya, sebagai kakitangan awam, mereka memerlukan satu bentuk perubahan agar penguasaan kerja menjadi lebih cekap sebagaimana disasarkan. – UTUSAN ONLINE










