PDRM sangkal penularan mesej berhubung kegiatan jual organ manusia - Utusan Malaysia

PDRM sangkal penularan mesej berhubung kegiatan jual organ manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyebaran mesej tular berhubung pencarian seorang lelaki yang diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terbabit dalam kegiatan penjualan organ manusia disahkan palsu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, mesej tersebut yang tular di aplikasi sosial media adalah palsu serta sudah diulang siar sejak 2014. 

“Mesej tersebut yang dikesan tular di platform Whatsapp itu dibuat atas nama Asisten Komisioner  Datin Asmawati Ahmad, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), dan mendakwa kononnya terdapat seorang lelaki bernama Mohd. Faris Farhan Ahlaken Ahmad diburu polis kerana terlibat dengan kegiatan penjualan organ manusia. 

“Lelaki berkenaan turut didakwa sebagai perogol bersiri di Malaysia juga di sempadan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Asmawati, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan mesej berkenaan serta menokok tambah gambar dengan tujuan mensensasikan lagi berita palsu tersebut.

“Ia dibuat bagi tujuan membangkitkan kegusaran serta ketakutan tanpa asas dalam kalangan orang ramai dan PDRM tidak pernah menerima sebarang maklumat sahih atau laporan polis berhubung kejadian penculikan untuk tujuan penjualan organ di negara ini. 

“Sebarang kenyataan rasmi daripada pejabat ini juga akan hanya dibuat melalui saluran serta format rasmi dan bukannya melalui platform Whatsapp,” jelas beliau. 

Asmawati turut menasihatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan berita sensasi yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

“Tindakan berkongsi atau menyebarkan berita sedemikian akan hanya akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.

“Sila hubungi pihak berwajib untuk mendapatkan kepastian dan elakkan diri daripada menjadi sebahagian kepada punca tularnya berita palsu,” tegas beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN