SANAA 22 Feb. – Sembilan orang awam terbunuh manakala sekurang-kurangnya 13 lagi cedera dalam serangan di wilayah Hodeida dan Hajjah pada awal minggu ini dalam perang di Yamen.
Pejabat Koordinas Hal Ehwal Kemanusian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak lapan orang terbunuh manakala 10 orang cedera apabila peluru meriam mengenai pasar di daerah Tuhayta di Hodeida, Selasa lalu.
Menurut kenyataan itu, laporan yang belum sahih itu menunjukkan seorang wanita terbunuh manakala tiga kanak-kanak cedera apabila peluru tersebut mengenai sebuah rumah pada hari Rabu lalu di wilayah utara Hajjah.
“Serangan ini tidak dapat disangkal. Negara ini sedang menghadapi krisis bekalan makanan dan pembunuhan masih berlaku,” kata penyelaras kemanusiaan PBB Yemen, Lise Grande.
Dia tidak menamakan parti-parti di sebalik serangan itu. -AFP










