Pasukan khas urus perumahan mampu milik ditubuhkan - Zuraida - Utusan Malaysia

Pasukan khas urus perumahan mampu milik ditubuhkan – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasukan khas di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan ditempatkan di projek perumahan mampu milik untuk mengkaji pengurusan perumahan tersebut termasuk kutipan caj penyenggaraan mereka.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, anggota pasukan itu akan diberikan latihan bagi memperkasa dan membolehkan mereka memajukan diri.

“Pengurusan bagi hartanah ini adalah penting kerana jika kita bercakap mengenai golongan B40 (40 peratus kumpulan isi rumah berpendapatan rendah), kategori ini melibatkan mereka yang kurang berkemampuan.

“Jadi mereka tidak mampu membayar caj penyenggaraan yang tinggi dan mengambil masa untuk menguruskan rumah itu,” kata Zuraida dalam program bual bicara Property Hot Seat terbitan Bernama News Channel (BNC).

Beliau memberitahu, penubuhan pasukan khas itu adalah sejajar dengan Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

DKN merupakan inisiatif di bawah Dasar Perumahan Negara 2.0 diwujudkan KPKT bertujuan untuk menambah baik kualiti hidup penduduk Projek Perumahan Rakyat dengan sokongan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan EdgeProp.my.

Dasar Perumahan Negara yang baharu itu mempunyai lima bidang tumpuan, 16 strategi dan 57 pelan tindakan.

Tambahnya lagi, usaha beliau adalah untuk terus memberi penekanan dalam membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri dan meningkatkan taraf hidup mereka dalam tempoh lima tahun ini dan ia dijangka mampu dilaksanakan menerusi DKN. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN