MELAKA 9 Feb. – Dewan Pemuda Pas negeri ini menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh Parti Amanah Negara (Amanah) terhadap Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam mentadbir kerajaan negeri.
Ketua Pemudanya, Ahmad Bilal Rahudin berkata, pihaknya menyifatkan dakwaan terhadap Kamarudin adalah bagi menghalang lebih banyak tindakan memproksikan jabatan atau agensi kerajaan negeri untuk kepentingan politik daripada terbongkar.
Katanya, Pas selaku parti bukan kerajaan hanya bertindak sebagai hisbah atau semak dan imbang dan jika sikap sebegini diamalkan oleh Amanah ternyata ia bermakna mereka cuba menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti.
“Reaksi mereka umpama takutkan bayang-bayang sendiri dan ini sebenarnya menimbulkan syak bahawa Amanah juga menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya daripada diketahui rakyat.
“Malang sekali mereka yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan tidak berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan keterlanjuran,” katanya dalam sidang akhbar bagi menyatakan sokongan terhadap Kamarudin di Pejabat Pas Melaka di Semabok, di sini hari ini.
Amanah membuat lima laporan polis terhadap Kamarudin baru-baru ini yang didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta kerajaan negeri.
Semua laporan itu dibuat di Balai Polis, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah susulan ceramah oleh Kamarudin pada majlis anjuran Pas dan UMNO di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah sebelum ini.
Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, dalam ceramah itu, Kamarudin mengeluarkan kenyataan berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid dan kenyataan dibuatnya tidak tepat dan menjadi satu fitnah yang amat serius.
Mengulas lanjut, Ahmad Bilal berkata, jika perkara yang dinyatakan Kamarudin adalah dakwaan, tuduhan atau fitnah, mengapa pihak tersebut yang sedang berkuasa takut untuk turun bertemu rakyat datang dan menyelesaikan isu berbangkit.
“Biar pun pihak kerajaan negeri cuba menafikan, rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di peringkat akar umbi negeri sedang merasainya.
“Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat pada era kecelikan politik terbuka kini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










