KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Pas berjanji untuk menyokong Perdana Menteri, Tun D.r Mahathir Mohamad, jika berlaku undi tidak percaya sebagai usaha untuk mewujudkan ketidaksepakatan dalam Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, itu adalah tindakan terakhir yang boleh dilakukan parti berkenaan, selepas mereka gagal dengan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Yang menariknya, perkara ini datang daripada Pas. Kita tidak pasti mereka bercakap benar atau tidak”, katanya kepada pemberita selepas hadir pada Persidangan Antarabangsa Thirukkural di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain beberapa hari lalu, dan tidak ada di kalangan mereka yang pernah mendengar mengenai sebarang cadangan undi tidak percaya terhadap Mahathir seperti yang didakwa Pas itu.
“Beberapa hari lalu dan hari ini juga, saya ada berjumpa Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak ada daripada kami yang pernah mendengar perkara ini,” katanya. – Bernama










