PORT DICKSON – Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak ditahan di sebuah kawasan projek perumahan di kawasan Lukut dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan dalam operasi bersepadu mencegah jenayah bagi mengurangkan ketakutan jenayah dalam kalangan masyarakat.
“Operasi selama lima jam bermula pukul 9 malam hingga pukul 2 pagi. Operasi ini melibatkan seramai 55 pegawai dan anggota polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Tenaga Kerja.
“PATI terbabit ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Aidi Sham berkata, seramai 25 PATI yang ditahan itu terdiri daripada 12 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak warga Indonesia serta enam lelaki warga Bangladesh.
Kata beliau, operasi bersepadu seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan Port Dickson terus aman dan sejahtera. – K! ONLINE










