KUALA LUMPUR – Hari Wilayah Persekutuan 2019 terus disambut meriah oleh warga kota apabila lebih 100 orang kelainan upaya (OKU) mengambil bahagian dalam Karnival Hari Wilayah Persekutuan @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di sini kelmarin.
Karnival anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan itu menampilkan 11 acara sukan untuk golongan tersebut melibatkan sukaneka dan permainan tradisional.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, golongan OKU tidak perlu mengasingkan diri dan harus membuang rasa rendah diri dan bergaul dengan masyarakat termasuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan bersama masyarakat.
“Selain memeriahkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, penyertaan golongan OKU dalam karnival itu dapat menerapkan perpaduan, persefahaman dan mengeratkan hubungan tanpa mengira bangsa melalui sukan dan persembahan artis tempatan.
“Ia juga sebagai terapi pemulihan serta kaedah yang boleh membantu pengurusan kendiri dan pembangunan diri secara berkesan,” katanya di sini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid.
Tambahnya, antara aktiviti yang disediakan termasuk permainan congkak, kelereng, batu seremban, boling kelapa, dadu beracun, larian dalam guni, tarik kelapa dalam gelung, dam aji dan lain-lain.
Menurut Mohd. Nazam, lebih 100 peserta OKU telah menyertai karnival tersebut dan mereka berharap agar aktiviti itu diteruskan pada tahun hadapan. – K! ONLINE











