BEIRUT 21 Feb. – Lebih 2,500 kanak-kanak asing dari 30 negara yang melarikan diri daripada militan Daesh hidup dalam keadaan terdesak di kem-kem pelarian di timur laut Syria, menurut laporan Save the Children.
Pertubuhan itu mendesak negara asal kanak-kanak berkenaan ‘untuk mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan golongan tersebut’ ketika pasukan keselamatan kini berada di pertempuran habis-habisan di kubu militan berhampiran sempadan Iraq.
“Mereka memerlukan bantuan khas untuk kembali pulih daripada pengalaman dan kembali hidup normal, bersama ahli keluarga masing-masing.
“Adalah mustahil untuk mendapatkan semuanya itu di dalam kem yang berada di zon perang. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera sebelum segalanya terlambat,” jelas pertubuhan tersebut.
Save the Children menambah, kanak-kanak berkenaan, termasuk 38 budak bawah umur yang bersendirian, adalah daripada keluarga ‘yang mempunyai kaitan dengan Daesh’.
Mereka terpisah daripada yang lain di dalam kem, memberi mereka kesan kepada akses bantuan dan pelbagai perkhidmatan lain.
“Musim sejuk telah memburukkan lagi keadaan dengan nyawa kanak-kanak berdepan risiko. Mereka adalah mangsa konflik dan mesti diselamatkan,” katanya. – AFP










