Mohon BAP disalurkan sebelum sesi persekolahan bermula - Utusan Malaysia

Mohon BAP disalurkan sebelum sesi persekolahan bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 20 Feb. – Ibu bapa memohon kepada kerajaan supaya mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebelum sesi baharu dibuka pada awal tahun.

Bagi mereka, langkah itu amat penting bagi meringankan beban yang ditanggung setiap kali menjelan sesi baharu persekolahan bermula apatah lagi jika mempunyai anak yang ramai.

Seorang bapa, Ismail Ahmad, 50, berkata, bantuan yang lazim diterima setiap tahun itu seharusnya diagihkan pada awal tahun bagi membolehkan ibu bapa membeli kelengkapan asas keperluan sekolah.

Menurutnya, sepanjang bulan ini semua keperluan sudah disediakan dengan menggunakan pelbagai sumber kewangan bagi memastikan murid memulakan pembelajaran dengan kelengkapan yang mencukupi.

“Rata-rata kami yang bekerja sebagai nelayan dan petani akan menghadapi masalah yang amat rumit untuk memastikan anak-anak dapat memulakan persekolahan dengan sempurna malah ada yang terpaksa berhutang terlebih dahulu.

“Apa pun kami bersyukur kerana bantuan seumpama ini masih diteruskan kerajaan pusat yang sekaligus boleh digunakan untuk keperluan pembelajaran anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas majlia penyerahan BAP di Sekolah Kebangsaan Cherang Ruku di sini hari ini.

Seramai 634 murid sekolah tersebut menerima BAP yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Kelantan, Zulkifli Zakaria mewakili Pengerusi Bersatu Negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pasir Puteh, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar.

Sementara itu, Zulkifli dalam ucapannya berkata, ibu bapa tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada kerajaan perlu memikirkan cara untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kerana keperihatinan kerajaan hari ini lah bantuan seumpama ini tetap diteruskan.

“Kita perlu fikir cara hendak keluar dari kemiskinan dan jangan asyik tunggu kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan secara berterusan,” katanya.

Katanya, kaedah untuk keluar dari kepompong kemiskinan ialah memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Dalam hal pendidikan dan kemiskinan kita kena ketepikan soal politik. Rakyat miskin juga perlu mendaftar semula e-kasih untuk mendapat pelbagai bantuan secara telus,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN