PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) diminta melihat keperluan menerapkan Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) ke peringkat sekolah menengah atas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, modul itu antara lain bagi membolehkan pelajar bermula daripada tingkatan empat ke atas mempelajari konsep keselamatan jalan raya dan undang-undang jalan raya sebagai persediaan sebelum memiliki lesen memandu.
Menurutnya, jika cadangan itu dapat diterapkan dalam kurikulum sedia ada, pelajar berkemungkinan boleh dikecualikan daripada menduduki kelas teori enam jam yang merupakan salah satu daripada Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP).
“Saya merasakan ceramah (kelas teori) selama enam jam itu tidak praktikal kerana dalam tempoh itu, pelajar perlu mengingati dan memahami semua perkara namun ia adalah yang kita guna pakai sekarang dan diwajibkan.
“Tetapi kalau undang-undang itu dapat diterapkan dalam sukatan pelajaran dan boleh dilaksanakan, saya rasa tiada keperluan untuk menduduki ceramah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Modul PKJR diajar secara penyerapan dalam subjek Bahasa Melayu di semua sekolah rendah sejak tahun 2007 dan telah dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah rendah mulai tahun 2012.
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, cadangan itu wajar dilaksanakan ke peringkat sekolah menengah atas memandangkan had umur minimum pemilikan lesen adalah 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pihaknya akan membawa cadangan itu kepada Jawatankuasa Kajian Dasar yang bertanggungjawab menilai kurikulum baharu di sekolah.
“Kita sentiasa mengalu-alukan sebarang idea yang inovatif dan kreatif seperti idea ini,” katanya. -K! ONLINE










