KUALA LUMPUR 13 Feb. – Pelantikan pengurus besar Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) tidak akan dilakukan secara terburu-buru oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tanpa perancangan lebih rapi dan teratur dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia.
MFL dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu melantik calon paling terbaik bagi menguruskan pengurusan PMOM yang dijangka beroperasi pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, berkata pihaknya telah berada dalam proses menilai calon-calon sesuai dan terbaik sebagai pengurus besar PMOM dan beliau berharap PMOM ini bakal menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk menambahbaik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) pada masa akan datang.
“PMOM sudah berada dalam pelaksanaan. Memang kita sudah lama tekankan isu-isu (pengadilan) ini dan di saat ini kita sudah membentuk satu organisasi itu selain bekerjasama dengan pihak FAM yang juga sudah bersetuju juga untuk meneruskan projek ini.
“Kita sedang giat untuk memastikan bahawa kita mendapat khidmat pengurus besar yang sesuai dan berpengalaman luas dalam bidang pengadilan dan juga pengurusan. Itu amat penting jika tidak kita akan terburu-buru sekali gus berdepan kegagalan.
“MFL melihat PMOM ini adalah masa depan pengadil dan kita berharap dengan melaksanakan projek ini dapat meningkatkan mutu pengadilan selain berharap dapat juga membantu FAM untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Idea penubuhan PMOM oleh MFL dan FAM terhasil selepas dua entiti bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), di London bulan lalu.
Tambahnya Kevin, calon pengurus besar PMOM juga haruslah dapat menyelami budaya bola sepak Malaysia dan menggunakan pendekatan yang sesuai.
“Dalam kalangan beberapa calon ini juga kita perlu memilih yang paling sesuai dengan persekitaran bola sepak dan keperluan di Malaysia. Boleh ambil cepat tetapi risau akan dapat hasilnya dalam jangka masa lambat.
“Beberapa pengadil luar yang bakal diambil pengurus besar juga bukan untuk menggantikan kedudukan pengadil tempatan tetapi hanya untuk sementara waktu bagi memberi sokongan dalam jangka masa pendek,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










