KUALA LUMPUR 9 Feb. – Ketua pegawai eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diberikan peranan sebagai calon pengurus besar Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).
Bagaimanapun, Kevin berkata calon yang disenarai pendek oleh MFL tidak semestinya hadir daripada tenaga pengajar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Kami sudah menyenarai pendek tiga hingga empat orang calon untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus besar PMOM bagaimanapun kami perlu meneliti sama ada mereka boleh bekerja di sini (Malaysia) atau tidak. Ini kerana semua calon tersebut berasal dari luar negara.
“Selain itu juga, kami berdepan kesukaran untuk menyenarai pendek calon kerana ramai yang mempunyai pengalaman dalam bidang pengadilan namun hanya segelintir sahaja yang ada pengalaman dalam bidang pengurusan pengadilan.
“Calon tersebut juga tidak semestinya terdiri daripada tenaga pengajar FIFA kerana di luar negara kita boleh lihat banyak badan yang tidak bernaung di bawah FIFA tetapi mempunyai kepakaran yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan undian peringkat kelayakan Piala FA di sini hari ini.
Sebelum ini, MFL berhasrat untuk melakukan penswastaan pengadil dengan menggunakan modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad (PGMOL) iaitu badan pengadil bebas EPL sebagai rujukan bagi memantapkan sistem pengadilan tempatan.
Sementara itu, kemeriahan saingan Piala FA semakin terasa apabila buat julung kalinya sebanyak 38 pasukan amatur diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij itu dengan semua pasukan tersebut akan beraksi dalam pusingan kelayakan pada 16 dan 17 Februari ini.
Sebanyak 14 pasukan daripada Liga M3 dan 24 pasukan daripada Liga M4 akan membuat penampilan dalam kejohanan tersebut diikuti 24 pasukan profesional daripada Liga Perdana dan Liga Super.
Kevin berkata itu merupakan penyertaan paling besar dalam saingan Piala FA malah dia berharap jumlah tersebut akan terus meningkat sehingga ratusan pasukan menyertai kejohanan tersebut.
“Dengan penyertaan pasukan amatur, ianya menjadi platform yang bagus khusus untuk pembangunan akar umbi bola sepak tempatan selaras usaha MFL merancakkan lagi industri bola sepak tempatan.
“Saya percaya penglibatan awal pasukan berstatus amatut ini secara tidak langsunh akan memberikan pendedahan awal kepada mereka dalam perjalanan menjadi pasukan profesional,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE











