Mereka tidak wujud di dunia ini - Utusan Malaysia

Mereka tidak wujud di dunia ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat gambar wanita dan lelaki serta kanak-kanak yang dipaparkan dalam halaman ini pasti ramai yang menyangka mereka mungkin ibu atau kakak atau pun pekerja sebuah syarikat yang kesemuanya menetap di negara Barat.

Namun hakikatnya, mereka bukanlah manusia malah tidak pernah wujud di muka bumi ini sebaliknya wajah mereka terhasil daripada gabungan dan padanan gambar-gambar manusia sebenar sehingga menghasilkan wajah manusia palsu. Lebih menyeramkan sebuah laman sesawang khusus untuk manusia palsu ini telah dilancarkan baru-baru ini untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat wajah-wajah manusia palsu, daripada orang tua sehinggalah kanak-kanak yang tidak pernah pun dilahirkan oleh manusia sebenar.

ThisPersonDoesNotExist.com mengandungi beribu-ribu wajah manusia palsu yang dicipta oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan setiap kali pengguna menekan pelayar sesawang berkenaan, ia akan menyiarkan berpuluh-puluh muka yang dijana hasil gabungan gambar manusia sebenar.

Beberapa imej kelihatan kabur tetapi kebanyakan gambar yang terhasil akan membuatkan kita terfikir mereka adalah manusia biasa seperti kita.

Laman sesawang tersebut telah dibina oleh jurutera perisian di Uber, Philip Wang menggunakan hasil penyelidikan pertama dikeluarkan oleh pembuat mikrocip, syarikat Nvidia, pada tahun lalu.

Penyelidik di Nvidia telah membina sebuah algoritma menggunakan rangkaian neural yang dinamakan General Adversarial Networks (GAN) berkeupayaan untuk mencipta wajah manusia yang tersuai dan realistik.

GAN membekalkan lebih 7,000 imej wajah manusia daripada Flickr dan mempelajarinya bermula daripada imej resolusi rendah dan mengenalpasti lebih terperinci sebaik sahaja resolusi setiap imej bertambah, lapor Lyrn.ai.

Algortima Nvidia yang dikenali sebagai StyleGAN, dilatih untuk menghasilkan wajah-wajah manusia secara rawak tetapi perisiannya pula mampu secara rawak menghasilkan pelbagai objek lain sama ada haiwan palsu, karakter animasi termasuk dokumen palsu.

Kata Wang, wajah-wajah manusia adalah paling menonjol dalam edisi pengenalan laman sesawang itu justeru dia memutuskan untuk meletakkan gambar model palsu terlebih dahulu.

“Setiap kali pengguna membuka laman sesawang tersebut, ia akan mula menggabungkan gambar-gambar sehingga menghasilkan imej muka yang baharu menggunakan 512 vektor dimensi,’’ katanya.

Secara keseluruhan proses tersebut mengambil masa hanya beberapa saat sebelum menghasilkan satu wajah yang kelihatan realistik tetapi hakikatnya palsu.

“Ramai yang tidak faham betapa hebatnya AI dalam menghasilkan secara sintesis imej pada masa akan datang,’’ katanya.

Penyelidik Nvidia menjelaskan StyleGAN mampu menggabungkan wajah manusia palsu melalui satu koleksi style iaitu setiap style mengawal kesan-kesannya pada satu-satu skala. Tiga kategori terbabit ialah style kasar atau gaya subjek, rambut dan bentuk wajah, style pertengahan pula merupakan ciri-ciri iras wajah manakala style halus merangkumi pelbagai warna.

“Kami boleh memilih mana-mana kekuatan pada setiap style yang diaplikasikan berdasarkan ‘wajah biasa’,’’ kata seorang penyelidik.

Melalui pemilihan ‘kekuatan’ itu secara teliti, mereka boleh menghasilkan imej yang baik. Ketika ThisPersonDoesNotExist.com dan Nvidia mempamerkan kehebatan AI yang menakjubkan, pelbagai persoalan timbul tentang implikasi teknologi tersebut.

Contohnya, GAN telah digunakan untuk menghasilkan deepfake atau video yang dimanipulasi menggunakan AI dengan menampal gambar wajah-wajah selebriti kepada tubuh pelakon porno.

Teknologi yang sama juga digunakan untuk menghasilkan video wajah-wajah pemimpin dunia yang diubah suai secara digital termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Senator Virginia, Mark Warner berkata, idea meletakkan wajah orang lain pada tubuh individu yang berbeza adalah satu kejayaan besar kepada mana-mana individu yang mahu menganggu proses politik sesebuah negara.

Katanya, pendekatan itu akan menjadi suatu realiti menjelang tahun depan tetapi mungkin lebih awal iaitu bermula tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN