‘Menang 2 Mac, saya selesai semua masalah’ - Utusan Malaysia

‘Menang 2 Mac, saya selesai semua masalah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 22 Feb. – Hari ini menang, esok masalah penduduk akan cuba diselesaikan.

Itulah janji ‘berani’ calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali kepada penduduk setempat sekiranya parti tersebut memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Janji tersebut diungkapkan Muhammad Aiman di hadapan kira-kira 150 penduduk Batu 26, Beranang di sini malam semalam.

Muhammad Aiman menjelaskan, beliau akan berusaha membantu rakyat yang berhadapan dengan masalah jalan raya berlubang, tiada lampu jalan, sampah sarap dan pendatang asing tanpa izin.

“Dalam beberapa hari ini, saya sudah bertemu dengan penduduk. Banyak aduan dan keluhan tentang jalan raya yang sempit, jalan raya yang berlubang, lampu jalan yang tidak bernyala, sampah sarap, pendatang asing.

“Jadi, dua hari bulan kita menang, tiga hari bulan saya selesaikan semua masalah. Saya akan usahakan,” katanya sewaktu berucap di sini malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Presi­den PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemui hari ini mengakui calon mereka terlepas cakap berhubung janji menyelesaikan masalah penduduk sehari selepas memenangi PRK Semenyih.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana Muhammad Aiman begitu bersemangat dan ghairah untuk membantu rakyat.

Katanya, beliau sendiri sudah pun menasihatkan calon PH berkenaan mengenai terlajak kata tersebut, selain boleh diperbetulkan.

“Apa yang penting, beliau menunjukkan minat untuk mem­bantu rakyat Semenyih dengan isu-isu telah saya sebutkan semalam dengan panjang lebar sehingga menjadi perhatian penduduk di sini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri sembang santai bersama penduduk Kampung Batu Tiga, Jalan Bangi di sini hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN