SAUDARA PENGARANG,
DALAM Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), MCA hanya menang satu kerusi Parlimen. Ini merupakan kekalahan paling teruk bagi parti itu sejak negara merdeka. Amat sukar pemimpin-pemimpin MCA untuk menerima kekalahan besar itu tetapi inilah lumrah politik.
Pada 1949, MCA ditubuhkan untuk memenuhi aspirasi politik kaum Cina semasa permuafakatan politik antara UMNO, MCA dan MIC berjaya mendapat kemenangan besar kerajaan Perikatan dalam PRU pertama 1955. Permuafakatan politik tiga kaum utama itu terus membawa kepada kemerdekaan negara.
Dalam sejarah penubuhannya, MCA telah melalui pelbagai dugaan politik. Perjalanan politik parti itu sepanjang 70 tahun sebenarnya tidak mudah. Kewujudannya membawa kepada penghasilan permuafakatan politik berbilang kaum yang pertama di Malaysia demi kemakmuran bangsa dan negara.
Pada awal kemerdekaan negara, MCA telah memperjuangkan kerakyatan untuk kaum Cina. Kejayaan itu juga membawa kepada pembukaan lebih 400 penempatan kampung baharu di seluruh negara dalam usaha menamatkan ancaman komunis.
Setelah negara merdeka, MCA memperjuangkan nasib kaum Cina agar hidup secara berhemah sebagai rakyat Malaysia dengan hak masing-masing terlindung di bawah Perlembagaan. Walaupun kadang-kadang berlaku sedikit pergolakan dalam politik, ekonomi, budaya dan agama, namun pada keseluruhannya Malaysia tetap mencapai satu keharmonian yang cukup membanggakan.
Namun malangnya sejak 20 tahun kebelakangan ini. politik Malaysia semakin mencabar. Dengan wujudnya teknologi internet dan media sosial, rakyat berbilang kaum dengan mudahnya dihasut dan diprovokasi sehingga mencetuskan penentangan terhadap kepimpinan politik generasi lama.
Walaupun MCA telah ditolak dalam PRU-14, tetapi pengorbanannya selama ini amat bermakna. Parti itu telah menampilkan diri sebagai kuasa politik yang mengamalkan kesederhanaan dan bertoleransi.
MCA perlu kembali kepada titik permulaan 70 tahun dahulu. Lihat semula tujuan dan misi parti itu ditubuhkan? Walaupun tidak memenangi apa-apa kerusi, MCA mesti bertahan dan terus melangkah ke depan. Itulah janji terawal mereka kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum.
Pada masa depan, sama ada MCA masih di bawah panji Barisan Nasional mahupun penjenamaan gagasan politik baharu, MCA diminta terus bertransformasi untuk menyumbang ke arah pembentukan budaya politik lebih luhur.
AWANG CAHAYA
Kuala Lumpur










