IPOH 22 Feb. – Kehadiran beberapa jentera berat di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) yang diteroka secara haram dekat Bukit Kledang di sini adalah untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan tanah.
Unit Korporat MB Inc. dalam satu kenyataaan memaklumkan, pihaknya mendapat kebenaran daripada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut ekoran aktiviti penerokaan haram yang dikesan pada awal Februari lalu.
“Kerja-kerja ini bertujuan menstabilkan struktur cerun serta membina perparitan bagi mengelakkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh.
“Diharapkan penjelasan ini akan menjawab keresahan orang ramai berhubung kehadiran jentera-jentera berat di kawasan tersebut,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap reaksi warganet dalam media sosial yang keliru dengan kehadiran jentera berat di lokasi berkenaan, justeru mempersoalkan sama ada pencerobohan masih berlaku.
Dalam pada itu, MB Inc. memaklumkan, sebagai langkah keselamatan, kawasan tersebut telah ditutup kepada orang awam selain diletakkan di bawah pemantauan pihak berkuasa bagi mengelak insiden pencerobohan tanah berulang.
“MB Inc. menghargai keprihatinan masyarakat mengenai kepentingan melindungi Bukit Kledang daripada sebarang ancaman penerokaan haram.
“Ini selari dengan iltizam kerajaan negeri untuk menangani isu penerokaan haram di tanah-tanah milik kerajaan negeri dan syarikat berkanun kerajaan negeri,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE










