KUALA LUMPUR 8 Feb. – Maybank yang akan mengumumkan keputusan kewangan bagi suku keempat 2018 pada 26 Februari ini kekal sebagai pilihan utama RHB Research Institute dalam kalangan bank-bank di Malaysia.
RHB Research berkata, untuk itu pihaknya mengulangi saranan ‘beli’ ke atas saham-saham Maybank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.00 sesaham.
“Kami nampak risiko sedikit kekurangan disebabkan oleh pendapatan bukan faedah yang lebih lemah berbanding jangkaan. Namun kualiti aset kekal stabil,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.
Katanya, ketidaktentuan dalam pertumbuhan global merupakan kebimbangan utama terhadap institusi perbankan pada 2019.
“Maybank dijangka merekodkan pertumbuhan dalam pinjaman pengguna walaupun kurang mantap berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Persaingan dari segi deposit masih wujud dan pengurusan menunjukkan kesediaan untuk menaikkan kadar apabila diperlukan,” katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan Maybank merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.02 bilion, naik tiga peratus berbanding suku sebelumnya bagi suku keempat tahun kewangan 2018 dan RM7.81 bilion bagi tahun kewangan penuh 2018.
Bagi ekonomi dalam negara, RHB Research berkata, pihaknya dapat melihat beberapa dasar yang kukuh daripada kerajaan baharu walaupun terdapat beberapa perkara lagi perlu dilakukan.










