Maut tercucuk buluh ketika tunggang motosikal - Utusan Malaysia

Maut tercucuk buluh ketika tunggang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 22 Feb. – Seorang remaja menemui ajal dalam keadaan ngeri selepas lehernya tercucuk buluh panjang yang tidak sempat dielak ketika membonceng sebuah motosikal di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira ‪pukul 9‬ pagi ketika mangsa, Mohd. Asri Azman, 17, membonceng motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang sepupunya, Mohd. Fitri Rosdi, 18.

Mangsa maut serta-merta di tempat kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, buluh panjang tersebut dipikul di atas bahu seorang lelaki yang menunggang motosikal bersendirian dari arah bertentangan.

Mohd. Fitri memberitahu, sebelum kejadian dia dan mangsa bersiar-siar menaiki motosikal di sekitar kampung bersama seorang lagi sepupu yang menunggang sebuah motosikal lain.

“Kami datang dari Kampung Bukit Sawa melalui Kampung Kok Kiok menuju ke Bukit Bakar. Motosikal dinaiki saya dan Mohd. Asri berada di depan manakala sepupu kami berada di belakang.

“Ketika di lokasi kejadian, seorang lelaki menunggang motosikal menuju ke arah kami sambil membawa sebatang buluh di atas bahunya.

“Saya berjaya mengelak buluh tersebut tetapi tidak sangka ia terkena leher Mohd. Asri pula,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Dia berkata, dia dan sepupunya cuba memberi bantuan namun keadaan mangsa terlalu parah dengan darah keluar membuak dari lehernya.

“Saya sempat mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah dan dia menghembuskan nafas terakhir dengan darah masih mengalir keluar dari leher,” kata pemuda itu yang kelihatan masih terkejut dan trauma.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd. Shamsuri Mohd. Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×