Masyarakat perlu terlibat program kitar semula - Utusan Malaysia

Masyarakat perlu terlibat program kitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 23 Feb. – Rakyat di negeri ini diharap dapat memberi kerjasama sekali gus melibatkan diri dalam program kitar semula sejajar usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran sifar sampah di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, kerjasama itu diharap dapat mengurangkan peratusan sampah yang ada di negeri ini semakin berkurangan dari semasa ke semasa.

“Saya tidak berani hendak beritahu berapa lama kita boleh mencapai sasaran sifar sampah tetapi saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, kita cuba lakukan langkah itu semaksimum yang boleh.

“Mungkin dalam tempoh itu kita tidak dapat capai sifar sampah tetapi janganlah ia hanya mencapai kadar 20 peratus sahaja, kita harap lebih daripada itu,” katanya pada Program KITAR3cycle anjuran SWM Environment Sdn. Bhd. di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung, Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Amran A. Rahman dan Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik.

KITAR3cycle merupakan satu usaha memperhebat budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan menyaksikan pengasingan barangan secara mikro berdasarkan 35 jenis barangan kitar semula termasuk kertas, plastik, logam, barangan elektrik dan elektronik, tayar serta minyak masak terpakai.

Hong Pin berkata, cara terbaik untuk mengatasi masalah limpahan sampah dan isu berkaitan alam sekitar adalah dengan menjalankan program kitar semula serta pengasingan barangan secara mikro selain kerajaan negeri akan sentiasa memberi khidmat nasihat diperlukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN