STOCKHOLM 8 Feb. – Volvo Cars (Volvo) mengalami penurunan margin keuntungan pada 2018 disebabkan perang dagangan antara Washington dan Beijing yang mengakibatkan kenaikan kos serta tekanan harga di pasaran utamanya di China.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hakan Samuelsson, pihaknya akan meningkatkan jumlah pengeluaran dan mengurangkan kos operasi untuk mengimbangi kesan terhadap margin yang dijangka berterusan tahun ini.
“Kami menawarkan produk yang sangat baik dan memiliki pasaran sederhana di luar Sweden. Oleh itu, kami merancang untuk berkembang dengan lebih pesat lagi.
“Volvo kini memasuki fasa yang memerlukan lebih tumpuan diberikan kepada aspek kos, bukan dengan pakej khas tetapi dengan kerja biasa bagi meningkatkan kesedaran dan kawalan kos,” katanya.
Segmen jualan kereta premium di China pada 2018 lebih baik berbanding pasaran luar yang berdepan dengan kesan perang dagangan.
Di bawah Geely, Volvo terus memacu segmen kereta premium di mana ia bersaing dengan Mercedes-Benz dan BMW serta mencapai rekod jualan bagi tahun kelima berturut-turut pada 2018.
Untung operasi syarikat naik kurang daripada satu peratus kepada AS$1.5 bilion (RM6.11 bilion), namun margin jatuh 5.6 peratus berbanding 6.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Minggu lalu, Daimler mendedahkan kenaikan kos dan penurunan jualan untuk Mercedes-Benz pada suku keempat.
Perang dagangan menyebabkan Volvo menangguhkan perancangan untuk penyenaraian pada tahun lalu dan menghasilkan kos tambahan bagi memulihkan kilangnya serta mengehadkan kesan tarif.
Tambah Samuelsson, jika AS melihat semula ancamannya untuk menampan tarif ia akan membawa kepada kesan yang sangat buruk untuk Volvo serta industri automotif Eropah dan sangat sukar untuk mengimbanginya. – REUTERS










