HULU LANGAT 18 Feb. – Mendesak supaya projek rumah kos rendah di kembalikan semula di Semenyih merupakan perkara yang ditawarkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menerusi manifesto mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul berkata, Semenyih telah pesat membangun dan semakin banyak perumahan baharu dibuka namun malangnga ia ditawarkan dengan harga yang tidak masuk akal.
“Lambakan perumahan mewah dengan harga tidak masuk akal, masih tak terjual bertahun-tahun. Generasi muda di Semenyih tidak mampu untuk membeli rumah dengan harga RM300,000 ke RM600,000 ini.
“Oleh itu, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat dan sekali gus sebagai penggubal polisi, kami akan menggesa pihak berwajib mengawal harga rumah dengan memperketatkan syarat buat pemaju sebelum projek dimulakan,” katanya.
Nik Aziz Afiq berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan manifesto PSM untuk PRK Semenyih di pejabat parti itu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan.
Tambah Nik Aziz Afiq, tawaran pembangunan terancang yang berpihak kepada rakyat tempatan merupakan satu daripada tujuh perkara yang diberikan perhatian PSM menerusi manifesto tersebut.
“Selain itu, manifesto kami turut menyentuh bagi meningkatkan kemudahan kesihatan seiring pertambahan penduduk di Semenyih serta bagi menambahkan pengangkutan awam terutamanya kemudahan bas.
“Turut terkandung dalam manifesto ini adalah mengenai pendidikan buat generasi masa hadapan, pilihan raya majlis, kampung dan taman selain memberi penekanan bagi melindungi kawasan alam sekitar dan rekreasi seperti Bukit Broga,” katanya. – UTUSAN ONLINE.








