Malaysia mampu jadi negara berjaya jika semua pihak kerja keras - Utusan Malaysia

Malaysia mampu jadi negara berjaya jika semua pihak kerja keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR – Malaysia mampu menjadi negara yang berjaya sekiranya para pemimpin dan rakyat bekerjasama berusaha keras serta mendokong setiap prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Demikian ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya apabila menyifatkan kerjasama seumpama itu penting sebagai asas yang memacu pertumbuhan negara sekaligus mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. 

“Kita (rakyat Malaysia) boleh berjaya kalau semua rajin, kerja keras dan mendokong undang-undang dan Perlembagaan Negara. Kalau kita tidak mengikuti semua itu, kita tidak akan ke mana.

” Malaysia ini sebenarnya mempunyai kelebihan serta kekuatan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum. Kalau kelebihan dan kekuatan ini digembeleng mengikut jalan yang baik dan betul, saya yakin negara kita akan kuat dan terus disegani negara-negara dunia yang lain,” katanya. 

Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berharap para pemimpin yang ditugaskan untuk mentadbir negara dan rakyat supaya menjaga amanah mereka dengan baik. 

Terdahulu, Abu Bakar merasmikan pelancaran Kelab Sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, di sini hari ini. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar dan Pengerusi Kelab Sukarelawan DUN Batang Kali, Norhayati Abu Kassim. 

Dalam perkembangan lain, Harumaini ketika ditemui menyatakan penubuhan kelab itu merupakan usaha yabg dapat meningkatkan lagi hubungan silaturahim rakyat khususnya di kawasan DUN Semenyih. 

“Kelab ini saya difahamkan telah mempunyai 1,000 ahli dengan 25 cawangan dalam DUN Semenyih. Dengan adanya kelab ini, ia satu usaha untuk melibatkan rakyat khususnya golongan muda di Batang Kali untuk membantu di antara satu sama lain atas semangat kesukarelawanan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN