Malaysia belum kibar bendera putih - Utusan Malaysia

Malaysia belum kibar bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Malaysia masih berpeluang ke separuh akhir Piala AFF bawah 22 tahun (B-22) walaupun gagal meraih kemenangan pertama selepas seri 2-2 dengan Indonesia dalam saingan Kumpulan B di Stadium Nasional, Phnom Penh, hari ini.

Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee percaya, anak-anak buahnya menunjukkan karakter yang bagus dalam perlawanan itu berbanding ketika tewas 0-1 kepada Kemboja apabila bangkit daripada ketinggalan dua kali.

Malaysia ketinggalan pada minit ke-52 selepas Marinus Wanewar berjaya memperdayakan pertahanan negara.

Bagaimanapun, sembilan minit kemudian, pasukan negara menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas Nik Akif Syahiran Nik Mat tetapi pemain gantian Indonesia menjarakkan semula kedudukan pada minit ke-76 menerusi Witan Sulaeman.

Ketika skuad Garuda Muda hampir meraih kemena­ngan, penyerang kelab Fagiano Oka­yama, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyelamatkan maruah negara apabila menaduk masuk hantara cantik bagi meraih satu mata penting.

“Malaysia memiliki peluang seimbang dalam saingan kali ini dan kita sedar Indonesia sentiasa menjadi cabaran utama kerana mereka bukan sahaja bagus secara keseluruhan tetapi setiap pemain juga ada kemahiran individu tersendiri.

“Apa juga keputusan di antara Myanmar dan Kemboja, kami tetap ada peluang ke separuh akhir dengan syarat kami perlu menang ke atas Myanmar dalam aksi terakhir,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar.

Kemboja menewaskan ­Myanmar dalam satu lagi perlawanan, dan Malaysia akan bertemu Myanmar, Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN