GUA MUSANG 7 Feb. – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib seorang warga emas berusia 64 tahun yang tinggal di Kampung Batu 2, Kuala Nerus di sini yang berdepan satu demi satu ujian dalam hidupnya.
Sebelum ini, Nik Mah Ibrahim, 64, dengan kudrat tidak seberapa perlu menjaga suaminya, Wan Yusoff Abdullah, 81, yang uzur dan sakit asma kronik.
Dalam masa sama, seorang anak dan seorang cucu Orang Kurang Upaya (OKU) yang cacat kaki turut di bawah jagaannya.
Kini, dia sendiri pula kehilangan keupayaan untuk berjalan akibat sendi pahanya tercabut selepas terjatuh dalam bilik air hampir setahun lalu.
“Sebelum ini saya sering menjaga suami yang uzur, malah dia selalu ditahan di hospital dalam tempoh masa lama.
“Tetapi, selepas kejadian itu pergerakan saya terhad kerana menggunakan kerusi roda. Mujurlah ada anak-anak lain membantu serba sedikit,” katanya.
Nik Mah yang mempunyai 15 orang anak berkata, segala perbelanjaan kini hanya bergantung kepada duit daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya sebanyak RM350.
“Saya turut menjaga seorang anak lelaki berumur 37 tahun dan seorang cucu lelaki berumur 15 tahun yang berstatus orang kurang upaya (OKU).
“Walaupun mempunyai anak yang ramai, saya tidak mahu menyusahkan anak kerana mereka masing-masing sudah mendirikan rumah tangga dan kesemuanya hidup susah. Mereka hanya bekerja kampung seperti menoreh getah,” katanya di sini hari ini.
Pada 17 Februari ini pula, Nik Mah memberitahu, dia perlu menjalani pembedahan menyambung tulang sendi pahanya di Hospital Kuala Krai dengan kos sebanyak RM7,500 dan perlu membayar pendahuluan sebanyak RM500 dahulu.
“Saya tidak mampu menyediakan wang pendahuluan itu untuk melakukan pembedahan di Hospital Kuala Krai. Jika tidak melakukan pembedahan, doktor mengatakan saya akan menjadi tempang seumur hidup,” katanya sambil menangis.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada Nik Mah boleh menghubungi warga emas itu sendiri di talian 013-5384621. – UTUSAN ONLINE










