IBU bapa mana yang tidak berasa bimbang apabila anak kesayangan mereka yang sudah menginjak usia dewasa masih belum mampu menguruskan diri sendiri.
Apatah lagi ketika usia mereka sudah memasuki setengah abad, apa agaknya akan berlaku kepada anak tersebut sekiranya mereka dipanggil menghadap Ilahi kelak.
Siapa pula yang akan mengurus anak tersebut? Siapa yang sanggup memapahnya untuk berjalan? Siapa yang sanggup menukar lampin pakai buangnya?
Demikian perasaan yang membelenggu pemandu teksi, Razali Sahran, 52, apabila anaknya, Nuraina Syafiqah yang menghidap cerebral palsy (CP) kini sudah memasuki usia 22 tahun, namun masih memerlukan sokongan untuk menguruskan diri.
Bukan wang ringgit yang ditagih si bapa, sebaliknya sokongan daripada komuniti dan pihak berwajib bagi memastikan anak gadisnya dapat meneruskan kelangsungan hidup terutama apabila dia dan isteri sudah tiada di muka bumi ini.
Memikirkan nasib anak gadisnya itu, Razali terpaksa menggunakan laman sosial untuk meluahkan perasaan kesalnya terhadap polisi kerajaan sekarang yang dilihatnya tidak lagi mengambil berat kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU).
Dalam status yang dimuat naik dalam Facebook baru-baru ini, Razali meluahkan rasa kesal apabila golongan OKU seperti anaknya kini tidak lagi layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Sedangkan ketika dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), anaknya layak menerima sebanyak RM450.
Status Razali itu mendapat perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak dan dikongsikan bekas Perdana Menteri itu dalam akaun peribadinya sebanyak dua kali sehingga menjadi tular.
“Apa yang saya suarakan dalam Facebook bukan soal hendak mendapatkan bantuan kewangan, cuma rasa kecewa apabila kebajikan golongan OKU tidak lagi menjadi perhatian utama kerajaan.
“Apabila sudah tiada cara lain, maka sesekali kita kena bersuara menggunakan laman sosial.
“Alhamdulillah selepas status ini mendapat perhatian orang ramai, beberapa pihak datang melawat Nuraina Syafiqah termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berjanji menghulurkan bantuan,” katanya kepada S2 ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Nuraina Syafiqah sebelum ini pernah menjalani terapi di sebuah pusat pemulihan CP di Damansara dengan kos sebanyak RM14,800 yang ditanggung Lembaga Zakat Selangor.
Sejak menjalani rawatan itu, keadaannya semakin baik dan berlaku perkembangan positif dari segi struktur badannya.
Gadis itu sepatutnya menjalani terapi susulan, namun kos yang perlu dikeluarkan lebih tinggi daripada rawatan sebelum ini.
Memikirkan orang lain juga memerlukan sumbangan zakat, Razali memadamkan niatnya untuk meneruskan rawatan tersebut.
Baginya, jika dia berasa susah, ada orang lain yang berkali ganda lebih susah dan lebih memerlukan zakat atau bantuan.
Sehingga sekarang, anak sulung daripada dua beradik itu masih menggunakan lampin pakai buang, tidak mampu berjalan serta tidak mampu bertutur dengan baik.
Menurut Razali, Nuraina Syafiqah yang merupakan peminat tegar pasukan Selangor FA dan sering mengikutnya menonton perlawanan bola sepak di stadium, acap kali mengalami sawan.
Hal demikian tidak membenarkannya mengambil atau menghantar penumpang untuk jarak yang jauh. Malah dia juga tidak melakukan kerja lebih masa bagi memastikan sentiasa berada dekat dengan anaknya.
Hendak diharapkan pendapatan Razali sahaja sebagai pemandu teksi memang tidak mencukupi apatah lagi ketika industri teksi pada hari ini menerima banyak cabaran.
Keadaan itu memaksa isterinya, Siti Aishah Halim, 47, untuk turut bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman bagi menampung kos sara hidup mereka sekeluarga.
Mujur majikan Siti Aishah memahami situasi dialaminya. Nuraina Syafiqah bukan sahaja dibenarkan dibawa ke pejabat, malah disediakan ruang khas kepada gadis itu untuk melakukan aktiviti sendiri tatkala ibunya sedang bekerja.
“Selepas status tersebut tular dalam Facebook, ramai yang menghantar mesej kepada saya untuk meminta nombor akaun bagi menghulurkan sumbangan, tetapi saya tidak bagi.
“Saya tidak mengharapkan bantuan kewangan daripada orang ramai kerana saya sedar ada orang lain yang lebih memerlukan daripada saya.
“Cuma, saya mahu kerajaan lebih prihatin terhadap golongan OKU terutama penghidap CP yang kebanyakannya tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan, malah ada yang terlantar sahaja,” katanya.
Menurut Razali, di sebalik bantuan kewangan semata-mata, kerajaan mungkin boleh mewujudkan pusat-pusat latihan untuk penghidap CP supaya mereka dapat dilatih, setidak-tidaknya untuk berdikari.
Bukan ibu bapa sepertinya tidak mampu melatih anak mereka, namun disebabkan tuntutan kehidupan, mereka terpaksa keluar mencari rezeki.
“Kami tidak boleh berada di sisi mereka 24 jam kerana kami juga perlu bekerja untuk menampung kehidupan.
“Dengan adanya pusat latihan ini, bolehlah ia mengambil alih tugas kami melatih anak-anak OKU terutama yang menghidap CP menguruskan diri.
“Kalau kami sendiri yang buat, mungkin ada kekangan. Namun dengan kapasiti yang ada pada pihak-pihak berkenaan, saya yakin golongan tersebut dapat dilatih dengan lebih baik,” ujarnya.










