TEMERLOH – Seorang lelaki terbunuh selepas treler yang dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 114. 4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, Ahmad Thahir Samsu, 29, dari Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, Ahmad Thahir memandu treler seorang diri dan merempuh bahagian belakang lori tersebut yang berada di lorong kiri sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Akibat rempuhan itu, kedua-dua kenderaan terbabit terbabas dan terbalik ke bahagian kiri jalan namun pemandu dan kelindan lori berbangsa India itu hanya mengalami cedera di bahagian kepala dan kaki.
“Mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurutnya, siasatan awal yang dilakukan mendapati lori tersebut telah dicuri di Setapak, Kuala Lumpur pagi tadi.
“Lori terbabit didaftarkan atas nama sebuah syarikat Clean Living Marketing Sdn. Bhd. difahamkan pemiliknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Sentul,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya telah mengambil sampel air kencing kedua-dua lelaki India itu dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE










