Lelaki Filipina miliki organ penyu dipenjara - Utusan Malaysia

Lelaki Filipina miliki organ penyu dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU 18 Feb. – Tiga lelaki warga Filipina masing-masing dihukum penjara dua tahun dan didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki sisik marginal penyu, plastron (bahagian hadapan), dan organ kemaluan spesis penyu hijau di kawasan perairan Pulau Ligitan, Semporna, awal bulan ini.

Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud  menjatuhkan hukuman itu terhadap Kismaru Rismaru, 18, Butlayan Tabiyanan serta Abdul Gahni Awan, kedua-duanya 19 tahun dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini. Beliau turut memerintahkan mereka dipenjarakan setahun lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Awang Krishnada  berkata, hukuman itu bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai pentingnya memulihara spesis penyu terbabit yang semakin terancam akibat pemburuan haram.

Beliau berkata pengakuan tertuduh tidak mengetahui membunuh penyu itu salah adalah tidak munasabah kerana telah banyak kes seumpama itu telah didakwa. 
 
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa memiliki 12 keping sisik marginal penyu, enam keping plastron, dan satu bahagian kemaluan spesis penyu hijau (Chelonia Mydas), di perairan Pulau Ligitan Semporna, pada 4.26 pagi, pada 6 Februari. Penyu hijau adalah haiwan yang dilindungi yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Silvester Saimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN