BANGKOK 21 Feb. – Seorang eksekutif di sebuah sekolah swasta maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala setelah ditembak isterinya hanya kerana enggan mendedahkan siapa yang menelefonnya pada lewat malam Hari Velentine lalu.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu di daerah itu, Dr. Ratthasat Panichpongsapak, 45, dan isterinya, Mayura Panichpongsapak, 44, bertengkar ketika makan malam selepas si suami enggan memberitahu siapa menelefonnya pada 14 Februari lalu.
Portal The Thaiger melaporkan, pertengkaran itu berlarutan hingga ke rumah sehingga wanita itu melepaskan tembakan mengenai pipi suaminya.
Panichpongsapak yang panik dengan kejadian itu terus menghubungi polis dan mereka mendapati dia duduk di sebelah suaminya yang terbaring berlumuran darah.
Sepucuk pistol ditemui di lantai manakala keadaan dalam rumah berselerak dengan pakaian.
Ibu kepada dua anak itu sebelum ini menghadapi tuduhan cubaan membunuh dan diberikan ikat jamin 500,000 bath (RM65,356) kini berdepan dakwaan membunuh. – AGENSI










