PARIS 22 Feb. – Lebah terbesar di dunia dengan saiz ibu jari tangan manusia ditemukan semula selepas hampir 40 tahun di kawasan terpencil Indonesia baru-baru ini.
Menurut Global Wildlife Conservation, meskipun saiznya yang besar, tiada pihak yang memantau lebah gergasi Wallace dengan nama gelaran ‘flying bulldog’ itu selepas ia ditemukan ahli alamiah British, Alfred Russel Wallace pada tahun 1981.
Bagi jurugambar pakar lebah, Clay Bolt berkata, dia berhasrat mempromosikan lebah itu sebagai simbol pemuliharaan di Indonesia dan menjadi kebanggaan penduduk tempatan di sini.
“Melihat sendiri betapa cantik dan besar spesies lebah ini serta mendengar bunyi sayap gergasinya adalah sangat menakjubkan,” katanya.
Lebah itu dengan nama saintifiknya Megachile pluto hidup di bahagian pulau Maluku Utara dan membuat tempat tinggalnya dalam sarang anai-anai.
Dalam pada itu, Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN) menyenaraikan lebah sebagai mudah terdedah kepada bahaya.
Walaupun jumlah serangga itu secara relatifnya banyak, namun populasinya yang terpencil menyukarkan kajian dijalankan.
Beberapa ekspedisi dibuat sebelum ini bagi mencari lebah di rantau ini gagal menemukan serangga itu.
Indonesia kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna namun dibimbangi habitat komuniti haiwan serta serangga itu diancam dengan penebangan hutan berleluasa bagi tujuan pertanian. – AFP











