KLANG – Kariah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini terus gempar apabila dua patung berhala diletakkan di atas pagar utama pintu masuk surau berkenaan petang tadi.
Dua patung berhala itu ditemui oleh kariah surau kira-kira pukul 2.45 petang sebelum dimaklumkan kepada ahli jawatan kuasa (AJK) surau berkenaan.
Penemuan dua patung itu adalah kejadian kali kedua selepas Rabu lalu.
Menurut seorang saksi kejadian, Hasanah Ibrahim, 64, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke surau itu untuk menghadiri sesi kuliah.
“Ketika saya melalui di hadapan pintu pagar utama, kelihatan dua buah patung berada di atas pagar berkenaan. Patung itu kira-kira sebesar tapak tangan.
“Saya amat terkejut kerana sebelum ini (pada Rabu lalu) surau ini telah digemparkan dengan penemuan sebuah patung berhala,” katanya ketika ditemui di surau berkenaan di sini hari ini.
Ujar Hasnah, dia segera memaklumkan penemuan itu kepada rakannya yang sedang menunggu kuliah agama di dalam surau serta AJK surau.
Sementara itu, siak surau, Mohd. Yatim Omar, 64, berkata, pihaknya amat risau dengan penemuan tersebut dan berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.
“Kita berharap agar surau ini segara dipasang televisyen litar tertutup (CCTV) dengan segera agar kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tindakan sendiri sehingga mencetuskan pergaduhan diantara kaum dan menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa.
Kosmo! Online pada Khamis lalu melaporkan jemaah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini terkejut apabila menemui sebuah patung berhala pukul 4.15 petang yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau itu. – K! ONLINE










