KUALA LUMPUR 18 Feb. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengadakan pertemuan dengan Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) berhubung ‘pertikaian’ antara syarikat penerbangan tambang murah itu dengan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias mendedahkan, sebagai antara pemegang saham terbesar dalam kedua-dua organisasi itu, KWSP bimbang pertelagahan itu akan mengundang impak buruk bukan sahaja kepada
AirAsia dan MAHB, tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya.
Jelas Tunku Alizakri, atas dasar itulah KWSP telah menghantar surat kepada kedua-dua syarikat, baru-baru ini supaya mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.
“Seperti mana pelabur lain, kami berasa bimbang dengan apa yang berlaku kerana perkara ini juga memberi kesan kepada negara. (Namun), kami tidak berada dalam kedudukan untuk bertindak sebagai pendamai tetapi berharap perkara ini akan selesai dengan segera.
“Kami gembira AirAsia telah pun memberi maklum balas kepada surat itu dan akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat. Kami masih menunggu maklum balas MAHB dan berharap untuk bertemu mereka juga,” katanya dalam taklimat media prestasi kewangan MAHB 2018, di sini hari ini.
Disember lalu, anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB), menyaman AirAsia dan AirAsia X, masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta, atas dakwaan tunggakan caj perkhidmatan penumpang (PSC).
PSC, yang dibayar oleh penumpang, dikutip oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket. Ia kemudiannya diserahkan kepada MAHB selepas selesai penerbangan.
AirAsia kemudiannya bertindak balas dengan menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada MASSB atas kerugian yang ditanggung kerana beroperasi di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
KWSP merupakan pemegang ekuiti kedua terbesar dalam MAHB iaitu sebanyak 10.56 peratus manakala mempunyai kepentingan sebanyak 5.64 peratus dalam AirAsia sekali gus menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam syarikat penerbangan tersebut. – UTUSAN ONLINE








