Kurangkan penjawat awam, pengangguran meningkat - Utusan Malaysia

Kurangkan penjawat awam, pengangguran meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengurangkan saiz penjawat awam akan menyebabkan jumlah pengangguran meningkat terutama kaum Melayu dan bumiputera.

Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, perbandingan yang dibuat Dr. Mahathir ketika melepaskan jawatannya semasa menjadi Perdana Menteri Keempat dilihat tidak adil.

Menurutnya, jika dilihat dua tahun sebelum Dr. Mahathir melepaskan jawatan hingga sebelum mengambilnya semula menjadi Perdana Menteri ketujuh, peluang pendidikan telah meningkat dan graduan yang cemerlang juga semakin ramai.

“Peluang pendidikan telah meningkat dan graduan yang cemerlang juga semakin ramai. Selama tempoh 15 tahun inilah kerajaan terdahulu membuka ruang dan peluang bagi mendapatkan pekerjaan di dalam sektor kerajaan.

“Tindakan mengurangkan penjawat awam ini menunjukkan kerajaan seperti tidak berhati perut dan suka melihat bangsa Melayu ditindas di tanah airnya sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nasrul, walaupun perkembangan teknologi di negara ini berkembang dengan baik tetapi dari segi perkhidmatan kerajaan tidak mampu menangani masalah rakyat.

“Tekanan demi tekanan dibangkitkan oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada rakyat. Tidak cukup kos sara hidup yang meningkat kali ini Perdana Metneri sendiri sekali lagi mengeluarkan kenyataan mengurangkan jumlah penjawat awam.

“Sebagai contoh pemantauan harga barang di kedai runcit yang harganya naik turun sesuka hati sehingga hari ini tak mampu diselesaikan kerana kurangnya penguat kuasa kerajaan turun bagi membuat kajian berkala,” ujarnya.

Katanya, senario masyarakat untuk mendapatkan kerja dalam bidang swasta amat menekan apabila orang Melayu sendiri tidak berpeluang kerana syarat pengambilan tidak bersifat terbuka dan mendahului bangsa majoriti negara.

“Perkasa menyarankan kerajaan perlu lebih bijak menangani isu kewangan dan elakkan wakil-wakil rakyat kerajaan daripada mengeluarkan kenyataan serta melakukan perkara yang membuatkan pelabur asing takut untuk melabur di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN